Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Selasa, 29 September 2009

ISA CALUN BAGAN PINANG

Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober 2009 depan. Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini. Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi. PAS pula akan mengumumkan calonnya malam ini.

Sebelum mengumumkan nama calon BN, Muhyiddin bertanya kepada para hadirin siapa yang mereka mahu, dan mereka menjawab: "Isa".

Sambil memetik slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata "sebab rakyat didahulukan, rakyat nak?" disambut dengan laungan kuat "Isa". Najib tiba sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan calon BN itu pada jam 5.15 petang.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal
2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua
Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan. Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
(Sumber : Malaysiakini)

Isnin, 21 September 2009

Jauhi gaya kepimpinan Samy

KUALA LUMPUR 21 Sept. 2009 - Kepimpinan baru MIC perlu menjauhkan sama sekali 'gaya kepimpinan Samy Vellu' sebagai syarat utama bagi memastikan masyarakat India kembali menyokong parti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, masyarakat India bukan satu kumpulan besar jika dibandingkan kaum lain tetapi mereka telah berpecah kepada banyak kelompok.

Menurut beliau, perpecahan tersebut langsung tidak menguntungkan mereka malah turut menyulitkan lagi usaha kerajaan untuk membangunkan kaum minoriti itu.

"Oleh sebab itu, bakal barisan kepimpinan baru amat perlu secara teori dan praktikal menjadi pemimpin kepada semua peringkat terutamanya memenuhi aspirasi golongan muda yang pada masa ini begitu kritis terhadap kerajaan.

"Transformasi radikal perlu dilakukan oleh MIC dalam semua aspek untuk mendekati dan sekali gus meraih kembali sokongan kaum India yang sebenarnya secara tradisi memang menyokong parti itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk membincangkan pelan peralihan kuasa pemimpin nombor satu MIC itu yang telah menerajui parti sejak 1981.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Sarjit Singh Darshan Singh Gill memperincikan ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh barisan kepimpinan baru parti itu bagi merealisasikan kewujudan sebuah MIC baru.

Perkara pertama, katanya, bakal pemimpin perlu menjadi seorang pendengar yang baik dan secara terbuka sanggup menerima kritikan, pandangan serta komentar daripada pelbagai pihak terutama di kalangan anggota komponen Barisan Nasional (BN).
Arkib ucapan pemimpin : Arkib ucapan pemimpin : Apa kata Dr. Mahathir tentang Samy VeluArkib ucapan pemimpin : Apa kata Samy velu terhadap Dr. Mahathir

Khamis, 17 September 2009

Dr M: Samy Vellu patut letak jawatan, liabiliti pada BN

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada BN dalam pilihanraya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mantan perdana menteri itu berkata beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan BN akan menjadi mangsa pula kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.

Dalam satu temubual dengan Bernama, Dr Mahathir berkata Samy perlu melepaskan jawatan presiden MIC kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas malah beliau sendiri pun kalah. "Kalau kita tengok di negara lain, apabila seseorang pemimpin gagal, dia dengan sendirinya letak jawatan. Kalau di Jepun, dia commit harakiri bunuh diri). Kita tak suruhlah dia (Samy) commit harakiri. "You (Samy) gagal pimpin MIC sampai you (Samy) sendiri kalah," katanya.

Mengambil contoh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan ekoran prestasinya tidak begitu baik, Dr Mahathir berkata: "Samy dia punya prestasi jauh lebih buruk daripda Pak Lah tapi dia tak mahu nak lepas pun jawatan dia. "Sepatutnya sebelum sampai ke tahap itu, dia (Samy) patut letak jawatan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berhak menegur sesiapa pun demi kebaikan BN, dan menambah kata: "Pak Lah pun saya tegur, apa Samy Vellu saya tidak boleh tegur?" Tindakan Dr Mahathir menegur Samy menjelang pemilihan MIC minggu lepas telah dilihat cubaan mencampuri urusan MIC dan ia telah menimbulkan kemarahan seorang anggota perwakilan yang mencadangkan agar gambar bekas Perdana Menteri itu dikalungkan dengan selipar.

Dr Mahathir berkata pemimpin perlu sedar bahawa mereka bukan dapat memegang jawatan secara seumur hidup. "Ini ditujukan bukan kepada Samy Vellu seorang sahaja kerana ada yang lain pun macam begitu juga," katanya. Dr Mahathir berkata beliau sendiri hendak meletak jawatan pada 1998 tetapi disebabkan krisis ekonomi dan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa terus memimpin negara sehingga 2003.

"Saya letak jawatan bukan bila orang kecam saya. Saya letak jawatan sebab saya duduk lama sangat. "Pemimpin Malaysia ini belum faham apabila dia gagal, dia patut dengan sendiri letak jawatan, tak payah orang suruh. Bila you gagal, you punya parti gagal. Dia bertanggungjawab," katanya.

Ditanya apakah yang BN boleh buat memandangkan BN mempunyai prinsip tidak campur tangan dalam urusan parti-parti komponennya, Dr Mahathir berkata apabila ia sudah menjadi masalah kepada BN dan jika BN masih tak campur tangan, BN sendiri yang akan menjadi mangsa.

Dr Mahathir berkata pemimpin BN perlu menegur Samy Vellu kerana sebagai pemimpin BN, mereka bukan bertanggungjawab terhadap prestasi parti sendiri sahaja tetapi prestasi BN keseluruhannya.

"Kalau saya tahu seseorang itu akan menyebabkan kekalahan BN, itu sudahmenjadi masalah BN. Bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh kata dok tak interfere (campur tangan) saja. Ini urusan BN. Kerana dia, BN kalah.

"Dulu mana ada Hindraf. La ni (sekarang) dah ada berpuluh (kumpulan
pendesak masyarakt India). Kerana dialah pasal orang tak mahu dia tapi dia nak jadi presiden lagi. Dr Mahathir pemimpin yang menggunakan duit, tekanan, salah guna kuasa dan mengugut orang boleh kekal menjadi presiden parti tetapi tidak akan menang dalam pilihan raya.

Mengenai pemimpin pilihan Samy Vellu yang memenangi pemilihan MIC minggu lepas, beliau berkata mereka boleh memenangi pemilihan parti tetapi akan kalah dalam pilihan raya kerana orang ramai tidak akan sokong. Dr Mahathir juga berkata Samy Vellu kerana tidak memainkan peranan untuk melarang pembinaan kuil tanpa kebenaran walaupun pernah berjanji untuk berbuat demikian.

Samy, kata Dr Mahathir, menjadi popular dahulu kerana beliau (Dr Mahathir) menolongnya. Dia nak buat universiti, saya pujuk kerajaan bagi peruntukan RM50 juta dan banyak lagi dia punya projek, saya tolong," kata Dr Mahathir.

Mengimbas tugasnya sebagai Perdana Menteri dahulu, Dr Mahathir berkata beliau terpaksa memujuk orang Melayu supaya membenarkan BN meletakkan calon MIC di kawasan majoriti orang Melayu kerana tidak ada satu kawasan pun di negara ini yang mempunyai majoriti orang India.

"Lebih dari itu, saya juga berusaha supaya calon-calon MIC ini disokong
oleh orang Melayu. Tanpa sokongan daripada ahli Umno dan orang Melayu lain, MIC tak boleh menang. Jadi ini khidmat saya kepada MIC. Tapi apabila MIC membuat sesuatu yang akan menyebabkan dia tak akan disokong oleh orang India, baik orang Cina, baik orng Melayu, saya perlu tegur," kata Dr Mahathir.
(Malaysiakini)

Sabtu, 12 September 2009

RAKYAT MENYAMPAH DENGAN BN

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata masyarakat tidak mengundi BN kerana mereka menyampah dengan gabungan tersebut, dan bukan menyampah dengan beliau.

Sebaliknya, ahli politik berusia 73 tahun itu berkata beliau dijadikan kambing hitam ekoran kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum lalu.

"Ketika masa saya (menteri dan ahli parlimen), mereka kata rakyat menyampah dengan saya (dan) itulah sebabnya masyarakat India tidak mengundi BN.

"Mereka bukan menyampah dengan saya. Mereka menyampah dengan BN," katanya yang gagal mempertahankan kubu kuatnya di parlimen Sungai Siput dalam pilihanraya Umum Mac tahun lalu.

MIC kalah enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang ditandinginya serta tewas 12 daripada 19 kerusi DUN.
(Sumber : Malaysiakini - 12 Sep. 2009)

Arkib : Koleksi ucapan pemimpin

Khamis, 10 September 2009

Samy Vellu sedia ‘bom hidrogen’

KUALA LUMPUR 10 Sept. 2009 – Kurang dari 48 jam sahaja lagi sebelum pemilihan parti MIC Sabtu ini, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan beliau mempunyai satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia Datuk S. Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

Bagaimanapun, kata Samy Vellu, beliau tidak akan meletupkan bom hidrogen berkenaan kerana ia bukan tindakan baik untuk dilakukan oleh seseorang pemimpin ketika bakal menghadapi pemilihan parti.

Samy Vellu mendakwa, bekas Timbalan Presiden parti itu telah menyediakan beberapa butir ‘bom’ untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri. ‘‘Setakat ini, satu ‘bom’ pun tidak pernah meletup.

‘‘Tetapi saya ada satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia beliau dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Subramaniam adalah salah seorang calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti Sabtu ini.

Sementara itu, Samy Vellu turut membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti itu dengan mengeluarkan kenyataan yang didakwanya menjejaskan maruahnya.

Beliau menegaskan, Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin selain daripada MIC tidak berhak mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti tersebut. menurut beliau, sekiranya bekas Perdana Menteri itu mempunyai masalah peribadi dengannya, ia harus diselesaikan secara baik.

‘‘Saya sangat menghormati beliau tetapi berasa sedih dengan tindakannya yang sengaja memberikan gambaran buruk terhadap diri saya.

‘‘Ini (mencampuri urusan pemilihan MIC) bukan tindakan baik yang boleh dilakukan oleh seorang pemimpin yang kini disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat di negara ini,’’ katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai yang berbunyi ‘Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk golongan kaum India di negara ini’.

Dr. Mahathir juga berkata, kaum India tidak wajar menyokong Samy Vellu lagi dan harus memilih calon yang berkaliber seperti Datuk S. Subramaniam yang bakal bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Samy Vellu menjelaskan, beliau telah melakukan yang terbaik kepada masyarakat India dan tidak pernah takut untuk menyuarakan pendapatnya ketika berada dalam Kabinet.

‘‘Dr. Mahathir pernah menghadiri Persidangan MIC Kebangsaan sebanyak 28 kali, kami pernah meminta beberapa peruntukan dan permintaan untuk kesejahteraan kaum India. ‘‘Tetapi satu pun tidak pernah diambil kira atau dipertimbangkan olehnya, ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri,’’ dakwanya.

(Sumber : Utusan Malaysia)

Rabu, 9 September 2009

TIADA RUNDINGAN HANYA ISU LAMA

Pintu rundingan Pas-UMNO tertutup rapat - Nik Aziz

KOTA BHARU 8 Sept.2009 - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan pintu rundingan di antara Pas dan UMNO mengenai masa depan Islam dan ummah di negara ini sudah tertutup rapat.

Beliau berkata, soal itu telah berlalu dan tidak perlu dibangkitkan lagi kerana sudah tidak ada lagi apa-apa perkara yang hendak dirundingkan. Menteri Besar itu sebaliknya berkata, pihaknya bersedia mengadakan rundingan jika ia berkaitan isu pemberian royalti minyak kepada kerajaan Pas Kelantan.

"Rundingan buat apa, ini cerita lama, nak berunding apa lagi. Tak perlu runding apa, kalau runding beri royalti saya setujulah. "Itu memang hak Kelantan cuma nak tentu bila ahli Parlimen kita pergi Kuala Lumpur bolehlah runding," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengulangi kesanggupan berunding dengan Pas semata-mata untuk melihat nasib umat Islam negara ini terus dibela dan dipertingkatkan.

Najib dilaporkan sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan Islam tetapi tidak rela UMNO dihina oleh sesiapa sahaja. Nik Abdul Aziz bagaimanapun tetap dengan pendirian beliau bahawa dasar kebangsaan yang digunakan dalam pentadbiran Kerajaan Pusat perlu diganti dengan dasar Islam seperti yang diterapkan oleh parti Pas di Kelantan.

"Kalau nak jaga Islam lebih baik tukar dasar daripada kebangsaan kepada dasar Islam barulah nampak ikhlas. "Kelantan sudah hidup 20 tahun di bawah dasar Islam. Kami tukar pemikiran rakyat daripada pak turut Eropah kepada pak turut nabi," tegasnya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz tetap bersyukur dengan peruntukan RM8.9 juta yang diumumkan Perdana Menteri untuk membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai. Beliau berkata, adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membantu Kelantan yang menjadi salah sebuah negeri di Malaysia.

"Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang memberi peruntukan dan telah menolong Kelantan dalam pelbagai bidang kerana itu adalah konsep federalisme. "Kelantan walaupun di bawah Pas tak terlepas daripada Malaysia, jadi segala hasil dibahagikan ke seluruh negeri termasuk Kelantan," katanya.
(sumber : Utusan Malaysia)

Jumaat, 4 September 2009

ISU KEPALA LEMBU

Kepala lembu berdarah: Badan antarabangsa pula kecam

Kuala Lumpur, 4 Sept. 2009: Selepas dipertikai penduduk Seksyen 23 Shah Alam sendiri, perhimpunan mengarak kepala lembu 'berdarah' yang didalangi oleh beberapa pemimpin Umno negeri itu menerima kecaman antarabangsa pula iaitu Yayasan Penganut Hindu Amerika (HAF).

Pengerusinya (bahagian Polisi Awam) Ishani Chowdhury dalam satu kenyataannya mendesak pihak polis segera mengenal pasti dan bertindak ke atas kumpulan yang membuat provokasi perkauman dan agama sempit itu.

Jelasnya, lembu merupakan simbol kesucian, kasih sayang dan keamanan (ahimsa) menurut kepercayaan Hindu. Sambil mendakwa tindakan terbabit berunsur ekstrem, perkauman serta menafikan hak minoriti penganut Hindu di Malaysia, beliau mendakwa Malaysia cuba mendiskriminasikan rakyat minoriti.

Tambahnya lagi, insiden itu mengakibatkan suasana tidak tenteram dalam kalangan penduduk tempatan yang beragama Hindu. Dalam kenyataannya, Ishani berharap kerajaan Persekutuan memberikan perlindungan ke atas penduduk tempatan beragama Hindu dengan memindah Kuil Sri Mariammam ke tapak yang dicadangkan (Seksyen 23) serta membawa semua yang terbabit ke muka keadilan.

Jumaat lepas, kira-kira 50 orang mengarak kepala lembu berdarah ke pejabat Menteri Besar Selangor, bangunan SUK ekoran cadangan kerajaan negeri membina kuil di kawasan mereka.

Salah seorang jurucakap perhimpunan 'haram' itu mendakwa kepala lembu berdarah itu adalah suatu simbolik pada pemimpin dicucuk hidung; yang ditujukan kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Adun Batu 23 Rodziah Ismail serta pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang lain.

Pun begitu, kebanyakan daripada mereka dikenal pasti adalah pemimpin-pemimpin Umno tempatan; sekaligus melengkapkan rumus khalayak bahawa insiden tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Kekesalan HAF ini merupakan respon balas pertama penganut Hindu antarabangsa, setelah Polis memaklumkan bahawa pihaknya menerima lebih 52 aduan daripada penganut Hindu Malaysia sejak 31 Ogos lepas.

Sebelum ini, Malaysian Hindu Sanggam juga mempertikaikan tindakan ini. Mereka menyokong penuh cadangan kerajaan negeri memindahkan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23 itu kerana ia tempat yang sesuai dan tidak mengganggu pihak lain.