Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Selasa, 15 Jun 2010

Ustaz Hassan kutubkhanah organisasi, perlembagaan PAS

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2010 : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 1,000 orang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.

(Sumber : Harakahdaily)

Rabu, 9 Jun 2010

MP 'bergaduh' di tempat rehat Dewan Rakyat

Satu usul dibentangkan mengikut peraturan Dewan Rakyat 26(1)(P) bagi menyiasat kekecohan yang berlaku di tempat rehat khas ahli parlimen ketika mereka mengadakan perbincangan mengenai kekurangan biasiswa kerajaan yang ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera.

MP Kinabatagan, Datuk Bung Moktar Radin dari Umno berkata beliau memfailkan usul itu selepas pertengkaran hangat antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan, termasuk dirinya ketika ke tempat rehat berkenaan.

Bung mendakwa 'orang luar' juga berada di tempat rehat itu dan terbabit dalam perbincangan berkenaan, justeru katanya “keselamatan ahli parlimen tergugat'.

Semasa perbincangan meja bulat, pertengkaran hangat dilaporkan antara Bung dan MP Tangga Batu (Umno) Idris Harun dengan pemimpin pembangkang.

Menurut Idris ketika menjejakkan kakinya di tempat rehat itu, beliau terdengar suara-suara yang memaki hamum Umno dan BN dan beliau cuba menegur mereka kerana tidakan berkenaan tidak berpatutan.

Mesyuarat diganggu

"Mereka memaki BN celaka, Umno celaka, jadi saya cuba menasihatkan mereka. Saya menyapa Kula (DAP Ipoh Barat) dan Kit Siang (DAP Ipoh Timur) dan memberitahu mereka bahawa saya ingin mendengar hujah mereka dan mengambil bahagian dalam perbincangan, tetapi ada di antara mereka mula memaki dan menghalau serta menolak saya,” katanya kepada wartawan.

Sementara itu, pemimpin DAP Perak, M Kulasegaran memberitahu wartawan bahawa perbincangan mereka yang sedang berlangsung diganggu oleh dua ahli parlimen kerajaan itu.

"Parlimen adalah tempat untuk rakyat datang dan menyuarakan pendapat mereka. Rakyat sepatutnya tidak dihalang ke mari,” katanya sambil menambah kedua-dua MP Umno berkenaan tidak diundang menyertai perbincangan mereka.

MP Padang Serai N Gobalakrishnan mengesahkan perkara itu dan berkata Kulasegaran telah mendapatkan kebenaran daripada parlimen sebelum memulakan perbincangan mereka itu.

"Ini mesyuarat persendirian dan parlimen membenarkannya,” katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat lain yang menyertai perbincangan itu adalah MP Puchong Gobind Singh Deo, Menteri Besar Perak yang disingkirkan yang juga MP Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin, ADUN Sungkai Sivanesan, MP Kapar S Manickavasagam, MP Sungai Siput Xavier Jeyakumar, MP Bukit Mertajam Chong Eng, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Rasah Anthony Loke.

Seorang daripada tetamu berkenaan adalah Presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia yang mendakwa kekurangan biasiswa untuk pelajar bukan bumiputera.