Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Jumaat, 27 Februari 2009

KARPAL TIDAK TUNDUK

Harakahdaily Fri Feb 27, 2009 9:40:18 am
KUALA LUMPUR, 27 Feb. 2009 (Harakah) - Kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit mengepung Pengerusi DAP Karpal Singh di Parlimen semalam dilaporkan telah ditahan oleh polis Bukit Aman.

Insiden itu dikatakan berpunca daripada tindakan Karpal menggunakan perkataan 'celaka' yang ditujukannya kepada Pemuda Umno semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, serta mendakwa pergerakan itu menghantar peluru kepadanya. Karpal bagaimanapun menarik balik perkataan 'celaka' itu setelah diarah oleh Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut laporan Malaysiakini, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang semalam ketika ahli parlimen Bukit Gelugor itu masuk melalui pintu utama bangunan tersebut apabila kira-kira 20 hingga 30 ahli Pemuda Umno dipercayai dari Selangor mengepung Karpal Singh. Bagaimanapun, Karpal kemudiannya menelefon Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Poh Kuan yang kemudian tiba bersama beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat lain.

Ekoran itu berlaku kekecohan antara kumpulan penyokong Umno dengan wakil-wakil rakyat pembangkang di situ sebelum pengawal keselamatan tiba untuk meleraikan mereka. Tiga Ketua Pemuda Umno bahagian yang hadir telah bercakap dengan pemberita. Mereka ialah Ungku Salleh Ungku Jamal (ketua Pemuda Umno Serdang), Megat Zulkarnain Omar Din (ketua Pemuda Umno Gombak) dan Lat Sharizal Abdullah (ketua Pemuda Umno PJ Utara). Mereka juga kemudiannya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP mengadu bahawa anggota keselamatan Parlimen tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Karpal ketika mereka tiba di situ. Ahli Parlmen DAP, Lim Lip Eng juga mendakwa beliau telah dipukul oleh kumpulan anggota Pemuda Umno itu.

Menurutnya, beliau dipukul beberapa kali di muka dan bahagian badannya. Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia kesal dengan kejadian tersebut, yang menurutnya, pertamakali berlaku di Parlimen. Katanya, beliau akan meminta Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat perkara itu dan berjanji akan memastikan parkara itu tidak berulang.

Manakala Karpal pula dengan tegas berkata, "saya mungkin kurang upaya, tetapi saya tidak tunduk kepada ugutan mana-mana pihak." Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong BN, Dato' Tiong King Sing memberitahu pemberita bahawa kesemua 22 anggota Pemuda Umno yang terbabit, telah ditahan oleh polis Bukit Aman. Bagaimanapun, ini dapat disahkan dengan pihak polis.

Beliau juga turut memohon maaf kepada Karpal atas kejadian tersebut dan berkata akan meminta Speaker menghad jumlah penyokong parti politik yang dibenar masuk ke Parlimen.

YB Karpal Sing diserang di Parlimen oleh Pemuda UMNO.

Khamis, 26 Februari 2009

AMARAN DATO AZIZAN TERHADAP TV3

@ tiblakedah.blogspot.com / - 12. 30pm
Pokok Sena 26 Feb. 2009 - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno kini cuba menjadi jaguh kononnya mempertahankan Raja-raja Melayu dan cuba menggambarkan PAS sebagai menentang sedangkan Umno mempunyai sejarah pengkhianatan mereka kepada Raja-raja Melayu.

Beliau menyatakan dalam ceramahnya sempena ucapan perasmian Ekspo Pertanian Dan Produk Halal anjuran PAS Kawasan Pokok Sena di Kompleks PAS Pokok Sena Jalan Langgar pada 25 Febuari bermula jam 9.00 malam. Turut berceramah ialah Dato Mahfuz Omar Ahli Parliman Pokok Sena dan YB Saifuddin Nasution Ahli Parlimen Macang Kelantan.
Terbaru, dalam laporan Buletin Utama TV3 pada 25 Februari lalu, Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mengumumkan untuk membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan tuduhan menghina Tuanku Sultan Kedah berdasarkan satu surat layang.

Sehubungan itu, Ustaz Azizan selaku Pesuruhjaya PAS Kedah mencabar Pemuda Umno berkenaan untuk mengemukakan bukti dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan saman yang akan dikemukakan. "Mereka cuba nak jadi 'hero' dan 'champion', nak buat laporan polis nak heret Exco-exco kita. Kalau perkara ini tidak betul, kita akan saman TV3 dan saman Pemuda Umno.

Sebaliknya tegas beliau, Exco yang berkenaan akan diberhentikan sekiranya terbukti menghina Raja-raja. Menurut Ustaz Azizan, usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah lama dilakukan termasuk menggunakan nama istana seperti juga krisis yang dicipta di Perak dengan menggambarkan PAS sebagai jahat dan menentang Raja-raja.
Ini bukan sahaja tohmahan yang cuba melaga-lagakan kita dengan Raja-raja Melayu atau Tuanku Sultan Kedah yang kita kasihi, tetapi cuba memberikan imej yang buruk kepada PAS dalam konteks politik dan perjuangan bangsa dan negara.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, tegas beliau, Pakatan Rakyat Kedah tidak bimbang bahkan bersedia menghadapi 'Pilihan Raya Besar' iaitu pilihan raya seluruh negeri Kedah.

Di akhir ucapan beliau menyeru kepada rakyat Kedah supaya bersabar dan berhati-hati dengan tindakan UMNO untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Dengan lafaz Bismillah beliau merasmikan Ekspo yang mana ia bermula pada 25 Febuari dan berakhir pada 28 Febuari 2009.

Rabu, 25 Februari 2009

MB SELANGOR HARGAI SOKONGAN

Mohd Khalil Abdullah Thu Feb 26, 09 7:28:54 am
KUALA LUMPUR, 26 Feb. 2009 (Harakah) - "Ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi cuba dirungkai oleh sekumpulan pihak yang mempunyai kepentingan politik murahan."

Demikian kenyataan yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Harakahdaily lewat malam tadi berhubung dengan penghargaan atas sokongan padu yang diberikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap kepimpinannya.

"Ribuan terima kasih kepada Presiden PAS, atas sokongan padu terhadap kepimpinan negeri Selangor. "Sokongan ini menunjukkan ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi sedang cuba dirungkai oleh sekumpulan yang dilihat berkepentingan politik murahan demi meraihi populariti,"jelasnya.

Berhubung dengan pelbagai isu yang melanda Pakatan Rakyat ketika ini, Khalid menambah, Pakatan Rakyat dalam menghadapi setiap permasalahan dan akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan setiap isu yang timbul. "Setiap pandangan yang berbeza berkaitan isu ini akan dibincangkan secara telus dan ilmiah bersama semua pimpinan,"tegasnya.

Cuti Elizabeth dilanjutkan
Sementara itu, menyentuh mengenai isu Exco Pelancongan,Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar,Elizabeth Wong,katanya, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh baginda Sultan Selangor,Tuanku Sharafuddin Idris Shah.

"Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan kebijaksanaan Tuanku dalam memberikan pendapat tentang pencerobohan hak peribadi individu. "Sebagaimana titah Tuanku, perbuatan menceroboh hak peribadi seseorang individu adalah menyedihkan,lebih-lebih lagi digunakan untuk kepentingan politik,"jelasnya lagi.

Tambahnya, pihak kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk memanjangkan cuti Elizabeth sementara menunggu selesainya siasatan pihak berkuasa. "Sepertimana yang dititah oleh Tuanku Sultan,kerajaan negeri akan membuat keputusan yang adil serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri Selangor,"tegasnya.

SAMAD SAID NAFI DIPERALAT PEMBANGKANG

25/02/2009 1:07pm
KOTA BAHARU 25 Feb. — Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menafikan dirinya telah diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang Bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang digunakan sekarang.
Beliau berkata kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum dalam isu tersebut. “Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun.

“Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Baharu di sini, hari ini. - Bernama

Selasa, 24 Februari 2009

SKANDAL RM17 JUTA BABITKAN KHIR TOYO

Ahmad Tajdid Wed Feb 25, 09 1:21:57
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - Setelah menjadi juara dakwaan penyelewengan kuasa membabitkan pengagihan 46 lembu korban dan caj servis kenderaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; mantan Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo kini terpaksa berhadapan skandal membabitkan penerimaan bayaran RM17 juta daripada seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi.

Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi itu diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah. Apa yang menghairankan, Resolusi Pengarah PNSB bertarikh 14 September 2007 hanya meluluskan pembelian lima unit kediaman berjumlah RM8,352,427.66 sedangkan rekod PNSB menunjukkan sejumlah RM25,603,545 telah dibayar ke akaun individu di Arab Saudi dari 17 September hingga 19 September 2007.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor, 24 Februari lalu, kesemua transaksi dibuat atas nama Mohd Khir selaku Pengerusi PNSB atas alasan Arab Saudi hanya membenarkan hartanah di Makkah dibeli oleh individu muslim.

"Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) berhasrat mendapatkan jawapan terhadap persoalan di atas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika kes ini membabitkan unsur jenayah," kenyataan akhbar itu dipetik. Sebelum ini dua orang Pegawai PNSB telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan.
tersebut berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri. Abdul Khalid selaku Pengerusi PNSB telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod tersebut.

Isnin, 23 Februari 2009

SETIAP KALI BILA ADA PILIHANRAYA KECIL

Ahli Pas masuk UMNO petanda baik bagi BN

TAIPING 23 Feb. - Penyertaan beramai-ramai bekas ahli Pas ke dalam UMNO memberi petanda awal bahawa Barisan Nasional (BN) bakal mencapai kejayaan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang yang akan berlangsung 7 April ini.

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau yakin dengan sokongan yang diterima itu, hasrat BN untuk berkhidmat kepada rakyat kawasan terbabit akan dapat direalisasikan.''Ini merupakan permulaan yang baik bagi BN kerana yang masuk ini adalah terdiri daripada mereka yang bukan dipaksa atau sengaja dibuat-buat cerita tetapi timbul kerana keikhlasan mereka sendiri," katanya kepada pemberita di sini lewat petang semalam.

Terdahulu, beliau menerima borang keahlian menyertai UMNO daripada 70 bekas penyokong Pas di Kampung Changkat Iboi iaitu antara kawasan kubu kuat Pas di Bukit Gantang. Melihat sambutan yang diterima pada majlis tersebut, Zambry yakin, lebih ramai pengundi akan memberi sokongan kepada UMNO dan BN pada pilihan raya kecil itu nanti.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar berkata, sekiranya BN menang, kerajaan akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah tempatan yang berbangkit. Ditanya tentang calon BN yang bakal diketengahkan pada pilihan raya kecil itu nanti, beliau berkata, pihaknya telah mengenalpasti beberapa nama dan hanya akan membuat pengumuman apabila tiba masanya.

Berkenaan tindakan parti pembangkang yang mahu mengadakan usul undi tidak percaya terhadap beliau, kata Zambry, terpulang kepada mereka untuk melakukannya. Sementara itu, beberapa bekas penyokong Pas ketika ditemui menjelaskan, mereka bertindak keluar daripada parti tersebut kerana kecewa dengan sikap para pemimpinnya.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Cawangan Changkat Iboi, Ibrahim Ahmad, 62, berkata, dia kesal apabila masjid sering dijadikan tempat untuk menyerang' peribadi orang lain. ''Imam masjid pun dilantik dari kalangan orang luar, bila berlaku perkara-perkara yang memerlukan nasihat tertentu, dia tak ada," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau yang telah menjadi ahli Pas sejak 1960-an itu, perjuangan politik pemimpinnya yang sanggup membelakangkan kaum sendiri turut mendorong dia mengubah fikiran. Seorang lagi bekas ahli Pas, Zainal Shaari, 59, berkata, isu janji yang tidak dikotakan menjadi alasan utama mendapa dia tidak mahu terus menyokong parti tersebut.

''Cara mereka (pemimpin Pas) yang sanggup ikut sahaja apa yang dikata oleh DAP itu yang saya tak setuju. Selain itu, tiada apa pun pembangunan yang dibawa mereka," katanya.

CELAKA MAHU TERUSKAN PPSMI

Irwan Muhammad Zain Tue Feb 24, 09 8:58:17 am
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang mengelarkan mereka yang masih mahu meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai golongan celaka.

Beliau turut menyelar tindakan merendahkan peratus kelulusan pelajar semata-mata kerana mahu mempertahankan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Tindakan tersebut kata beliau merupakan satu perbuatan yang dianggap sebagai menipu bangsa sendiri.

"Pemimpin jenis ini merupakan pengkhianat kepada bangsa dan bahasa serta lebih menyedihkan lagi kerana mereka sanggup meneruskan dasar PPSMI ini kerana memetingkan kroni," tegas beliau dalam satu forum himpunan dan ikrar mansuh PPSMI malam tadi.

Selain itu, Hadi juga menegaskan, tamadun bangsa yang pernah wujud mempunyai bahasa masing-masing dan kemajuan tamadun ini berkembang bersama dengan perkembangan bahasa mereka.

Beliau menggesa supaya rakyat di didik dengan ilmu dengan menggunakan bahasa sendiri dan bukan dengan bahasa asing. "Tidak salah belajar bahasa asing tetapi rakyat perlu di ilmukan dengan bahasa kebangsaan," kata beliau.

Lebih kurang 20 orang pemuda yang dipimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) Kamaruzaman Mohamad membaca ikrar taat setia dan berjanji akan mempertahankan Bahasa Kebangsaan. Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu turut diserikan dengan bacaan sajak oleh Dinsman.

Arkib ucapan pemimpin mengenai isu PPMSI

ORANG ULU

By Dr. Mahathir Mohamad on February 11, 2009 3:05 PM
1. Waktu saya kecik lebih kurang 70 tahun dahulu saya sering jumpa orang ulu (bukan suku kaum Sarawak), tapi orang ulu Kedah.
2. Ada yang terdiri daripada adik-beradik Mak saya. Ada Tok Karin (loghat Kedah - Kaghin), Lebak, Din, Mak Chah, Mak Bedah, Mak Doh. Orang pekan anggap orang ulu ini agak kolot dan lekeh. Mereka jalan kaki, naik perahu untuk ke pekan Alor Setar (Aloq Staq). Tak pakai kasut pun.
3. Bahasa mereka juga lain daripada bahasa kami orang pekan. Sesungguhnya mereka tak tahu apa. Bawak buah sikit, padi huma, beras pulut, sebagai buah tangan. Kadang-kadang mereka tidur di rumah tak perlu katil, hampar tikar sudah cukup.

4. Di sekolah Inggeris ramai juga anak orang ulu belajar bersama saya. Mula kekok sikit tetapi cepat faham dan guna bahasa Inggeris. Nampak tak bodoh sangat orang ulu ini. Kadang-kadang lulusan lebih baik daripada anak orang pekan.

5. Saya ke universiti. Budak Melayu tak ramai. Tapi di antara mereka ada juga anak orang ulu, terutama di Fakulti Sastera. Lulus Bachelor of Arts (B.A. - Sarjana Muda Sastera) mereka sertai Kerajaan, ramai di Kementerian Luar. Jadi second secretary (setiausaha kedua), first secretary (setiausaha pertama) dan kemudian jadi duta.
6. Boleh juga cakap orang putih dengan orang putih, anak orang ulu ni. Boleh berhujah dan bergaya sebagai Pak Duta.
7. Sebenarnya ramai anak orang ulu yang belajar sehingga dapat Phd. (Doktor Falsafah) di universiti luar negara kembali jadi pegawai tinggi Kerajaan.
8. Sekarang anak orang pekan pun susah nak kerja di luar negeri. Tak suka cocktail party kerana segan nak bercakap. Orang asing nak cakap bahasa lain, kerap kali guna bahasa Inggeris. Tetapi ini bukan masalah. Yang jadi masalah di cocktail party orang minum arak. Sebab itu pegawai tak suka pergi cocktail party.
9. Yang suka pergi cocktail party pegawai bukan Melayu. Mereka boleh bergaul dengan orang asing, bercakap dengan mereka bukan main fasih lagi, dan sudah tentu minum arak. Tetapi berguna juga mereka kerana mereka dapat dengar dan faham pendapat duta-duta asing.
10. Nampak sekarang sama saja - anak orang ulu atau anak orang pekan. Dulu kedua-dua boleh, sekarang kedua-dua pun tak boleh.
11. Pada pengalaman saya sejak 70-tahun dahulu, anak orang ulu ada kebolehan, tak kolot, tak lah lekeh sangat. Bila diberi peluang boleh buat. Anak kawan saya, Hassan Nawin (orang ulu dalam kelas saya) jadi pilot Boeing 747. Ada yang jadi doktor, pakar bedah, peguam, duta dan macam-macam lagi.
12. Rupa-rupanya mereka tak begitu lekeh. Janganlah perlekeh orang kampung, orang ulu dan orang luar bandar. Mereka boleh, kalau diberi peluang. Kalau tak percaya, buat kajian. Yang pegang jawatan tinggi, yang cakap bahasa Inggeris macam orang Oxford siapa? Ramai juga orang ulu.
13. Saya sendiri tak mimpi jadi doktor. Zaman saya di sekolah, doktor Melayu yang saya tahu hanya Doktor Arif, Pulau Pinang.
14. Tetapi saya dapat peluang, dapat juga lulus sampai jadi doktor. Kita serba boleh. Tetapi kalau orang sekat peluang saya mana saya nak tahu saya boleh atau tidak.
15. Demikian nasib orang Melayu bandar dan luar bandar. Dulu Mat Salleh (orang putih) anggap orang Melayu bodoh, tak boleh pegang jawatan. Sekarang orang Melayu sendiri anggap Melayu kampung bodoh.
16.Hai lah nasib!