Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Sabtu, 29 Ogos 2009

Pecat Soi Lek tidak selesai masalah

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2009 - Pemecatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden MCA setelah didapati bersalah terbabit dalam skandal seks tidak akan menyelesaikan krisis parti itu.

Krisis parti itu sebaliknya hanya boleh selesai jika Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kini dikaitkan dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) turut meletakkan jawatan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kedua-dua pemimpin itu kini menjadi beban bukan sahaja kepada MCA, malah Barisan Nasional (BN).

"Cara paling cepat boleh menyelesaikan krisis MCA ialah Tee Keat berundur dari jawatannya kerana beliau dan Soi Lek sudah menjadi liabiliti sebagai pemimpin selepas masing-masing dikaitkan dengan skandal.

"Seperti Soi Lek, skandal Tee Keat dalam PKFZ juga mencalar imej MCA dan ia boleh menyebabkan rakyat bukan Melayu menolak parti itu dan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamed Mustafa mengulas tindakan Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin Parti untuk memecat keahlian Soi Lek berkuat kuasa serta-merta. Tee Keat memberitahu, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital (VCD) skandal seks Soi Lek yang tersebar telah merosakkan imej parti.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, Tee Keat dan Soi Lek patut mencontohi bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dan bekas Timbalannya, Tan Sri Lim Ah Lek yang secara sukarela mengundur diri dari arena politik bagi mengekalkan perpaduan dalam MCA selepas tercetus krisis antara mereka pada 2002.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusof berpendapat, BN patut tampil menyelesaikan krisis MCA kerana apa yang berlaku sekarang boleh menjejaskan imej parti itu dan BN keseluruhannya.

Bagi mengukuhkan kembali MCA, katanya, BN perlu menggunakan pendekatan baru iaitu cuba memenangi hati rakyat bukan Melayu dengan bertolak-ansur dalam beberapa perkara dan mengelak membangkitkan apa sahaja isu perkauman yang boleh mengguris hati mereka.

"Jika UMNO boleh bertolak-ansur dengan MCA dan MIC untuk mencapai kemerdekaan pada 1959, kenapa perkara sama tidak boleh dilakukan sekarang demi kebaikan dan masa depan BN," katanya.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula yakin kemelut politik dalam MCA sekarang tercetus akibat agenda peribadi beberapa pemimpin dalam parti itu.

Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai agenda akan berasa cemburu dan saling cabar-mencabar untuk mencapai cita-cita mereka sehingga mencetuskan pergolakan dalam parti.

"Masalah ini hanya boleh selesai jika mereka yang bertelagah sedar bahawa tugas menjadi pemimpin ialah mengutamakan kepentingan rakyat bukannya agenda peribadi," katanya
(Sumber : Utusn Malaysia)

Sabtu, 22 Ogos 2009

ISU MASUK SURGA

Nik Aziz pertikai Jawatankuasa Muzakarah
KOTA BHARU 20 Ogos 2009 - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya mengenai penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana ia dibuat tanpa mendapat penjelasan beliau terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai tidak profesional dan keputusan itu telah dipengaruhi oleh pihak lain.

Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan itu tetap berpegang dengan pendirian bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga disebabkan parti tersebut memisahkan agama dengan politik.

"Dia (Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan) dengar laporan daripada akhbar saja. Kenapa tidak tanya saya dulu, tak betul kerja dia tu, tidak profesional dan dipengaruhi oleh benda lain.

"Tak payah (jumpa jawatankuasa itu), dia nak penjelasan, dia beri surat kepada saya, kalau dia datang lebih baik. Saya bersedia bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin yang disiarkan media hari ini.

Jawatankuasa itu memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Selagi orang kacau saya, saya akan terang sampai dia puas hati. Dia nak terima atau tak, dia punya pasal. Kalau tak kena atau tak puas hati tanya saya, jangan tanya surat khabar.

"Apa yang orang nak kata pada saya katalah tetapi apa sudahnya, biarlah ada hujah, kalau betul saya terima. Kalau tak betul saya anggap mengumpat, saya tengok sebanyak mana jawapan surat khabar tidak ada hujah, saya nak tumpang ilmu pun tidak boleh," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa yang menentukan jalan syurga atau neraka ialah Allah.

"Yang menentukan jalan syurga dan neraka ialah Allah dan yang memberitahu kepada kita ialah nabi dan apabila nabi mati tugasnya disambung oleh alim ulama.

"Saya bukan menentu syurga dan neraka yang menentu ialah Allah. Saya cuma penyambung tugas Nabi Muhammad SAW," katanya.
(Sumber : Utusan Malaysia)

Ahad, 16 Ogos 2009

PEROSES PENAMAAN CALUN SEDANG BERMULA

Proses penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan calon BN, Rohaizat Othman dan calon PAS, Salleh Man menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

Rohaizat menyerahkan borang pencalonnya pada jam 9.03 pagi ini, diikuti oleh Salleh sejurus kemudiannya.Rohaizat tiba pada kira-kira jam 8.55 pagi dengan diiringi oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Manakala calon PAS, Salleh Man pula tiba kira-kira jam 8.35 pagi bersama para pemimpin parti tersebut dan Pakatan Rakyat. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba kira-kira jam 8.45 pagi. Turut kelihatan ialah setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan naib presiden, Salahuddin Ayub.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Ogos ini sebagai hari pengundian. Pilihan raya DUN Permatang Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Sementara itu, rmai pegawai polis dan petugas media memakai penutup hidung dan mulut. Penyokong PAS memakainya yang memaparkan tulisan 'PAS untuk semua”. Pegawai kementerian kesihatan mengedarkan secara percuma penutup hidung dan mulut itu kepada orang ramai di pintu masuk ke pusat penamaan calon itu.

Sabtu, 15 Ogos 2009

KITA JUMPA DI PERMATANG PASIR

Salleh Man calon Pas

PERMATANG PASIR, 14 Ogos 2009 : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man dipilih sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Dengan pengumuman ini, beliau akan bertanding melawan calon BN, Rohaizad Otman, Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh. Sehingga kini, Kamarul Ramizu, bekas calon bebas Penanti dan Bukit Gantang akan turut serta dalam pilihan raya kecil ini sebagai calon bebas.

Penamaan calon pilihan raya ini akan diadakan pada 17 Ogos ini manakala pilihan raya akan diadakan pada 24 Ogos. Pemilihan calon PAS itu diumumkan oleh Abdul Hadi di hadapan ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Kerusi Permatang Pasir kosong apabila penyandangnya, Datuk Hamdan Abdul Rahman, wakil PAS yang memenanginya sejak tahun 1999, meninggal dunia hujung bulan lalu.

Turut hadir dalam majlis pengumuman calon itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali; Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Hashim; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Guan Yow dan Pengarah Induk Pilihanraya Permatang Pasir, Datuk Mahfuz Omar.

Sementara itu sebagai permulaan program pilihanraya kecil Permatang Pasir program besar-besaran akan diadakan. Ia akan dimulakan dengan Program Pelancaran Jentera Dan Bilik Gerakan PRK Permatang Pasir pada 16 Ogos 2009 (Ahad) bertajuk Anwar akan jawab siapa pengkhianat Melayu di Permatang Pasir.

Antara penceramahnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mansor Othman, Saifudin Nasution, Haji Mohamad Sabu dan Datuk Zahrain Hashim, Ceramah besar-besaran juga akan diadakan di Taman Cermai, Permatang Pauh. Antara penceramahnya adalah Anwar, Abdul Hadi, Lim Kit Siang dan Mohd Sabu.
(Sumber : Harakahdaily)

Jumaat, 14 Ogos 2009

PERMATANG PASIR : ERTI KEMENANGAN UNTUK PAKATAN

PERMATANG PASIR, 14 Ogos 2009 : Bagi PAS, kemenangan di Permatang Pasir nanti adalah untuk orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, kemenangan nanti bererti sokongan kepada kerajaan pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng di negeri itu. Bagi PKR, kemenangan di sini bererti sokongan terus menerus kepada anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah perspektif yang ada kepada semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti. Perspektif inilah yang bakal menyatukan mereka dengan satu tujuan iaitu memenangkan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat melawan calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Ustas Salleh Man telah dipilih mewakili PAS dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan pada 25 Ogos ini. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menyatakan bahawa kemenangan Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir adalah kemenangan bagi orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, adalah menjadi keperluan supaya kerusi Dun Permatang Pasir kekal kemenangannya di tangan PAS kerana ia adalah satu keperluan walaupun hanya dengan satu kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Dengan kemenangan tersebut walaupun dengan satu kerusi yang ada maka PAS dapat memberi pandangan, teguran dan memberi pembelaan kepada nasib orang Melayu dan umat Islam khususnya di negeri ini.

"Perkara ini bukan hanya setakat amalan soleh sahaja malah ia adalah suatu keperluan untuk membela dalam banyak perkara dan isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang. "Tetapi sekiranya ia di menangi oleh pihak yang lain maka mereka tidak dapat memberi pembelaan apa-apa kepada orang Melayu dan umat Islam kerana mereka itu bukannya parti yang memerintah di negeri Pulau Pinang," katanya.

PAS juga mengarahkan seluruh jenteranya meletakkan keputusan Pilihan Raya Umum 2004 sebagai kayu ukur yang hanya menang 500 lebih kerusi berbanding PRU 2008 dengan memperolehi lebih 5000 majoriti undi. Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera. Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada. Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris. Dalam pada itu, Majlis pengumuman calon PAS bagi pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir akan diumumkan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang jam 9 malam ini dalam satu majlis yang akan berlangsung di Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir.

Dijangka kesemua pemimpin utama pakatan rakyat akan hadir kecuali Penasihat Parti KeADILan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana mempunyai urusan di luar negara. Tinjauan wartawan ke tapak majlis pada malam ini mendapati, persiapan rapi sedang giat dijalankan oleh jentera khususnya bagi menerima kehadiran ramai penyokong tempatan dan dari luar.

Rabu, 12 Ogos 2009

UMNO TERGUGAT PUNCA ANWAR

DISERANG, KATA NIK AZIZ

KOTA BHARU, 12 Ogos 2009: Kerana kehebatan dan kejayaannya menggugat Barisan Nasional (BN) khasnya Umno, menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di serang habis-habisan, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik.

Bagi beliau, semuanya berdasarkan satu perkara sahaja iaitu dengki terhadap Ketua Pembangkang itu sehingga beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa. Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas serangan besar-besaran Umno terhadap Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin yang mendakwa Anwar adalah pengkhianat orang Melayu. Namun, tidak ada sebarang kenyataan yang jelas apa dia pengkhianatan yang dibuat Anwar.

Ekoran itu, Anwar menghantar notis peguam kepada Muhyidin dan meminta agar kenyataan itu ditarik balik dan meminta maaf kepadanya. Namun, ia ditolak oleh Muhyidin bahkan selepas itu, Umno Johor berhimpun di Paguh dan meneriakkan perkataan "Anwar pengkhianat" secara beramai-ramai. Mereka juga mencabar Anwar menyaman mereka.

Menurut Nik Aziz, Umno seharusnya menyerang dasar perjuangan parti PKR dan bukannya individu sekiranya mendapati perjuangan parti itu tidak betul. Katanya lagi, dalam sejarah ketamadunan manusia, Namrud dan Firaun walaupun berkuasa namun kerana menghianati ajaran Allah, mereka tetap menerima padah serta hukuman dari Allah walaupun berbangsa Arab.

Umno katanya, tidak wajar menyerang individu untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka dengan memburukkan Anwar Ibrahim, sebaliknya dasar parti yang perlu dikritik atau seumpamanya sekiranya ia tidak betul.

Beliau melahirkan rasa malu terhadap orang politik Malaysia yang menyerang individu secara besar besaran dengan mengatakan Anwar sebagai penghianat bangsa. Jelasnya, kalau demikian hujjah Umno, Nabi Muhammad saw juga boleh diistilahkan sedemikian kerana baginda turut menentang bapa saudara yang sebangsa dengannya.

"Sejahil-jahil orang Arab Jahiliah pun dia tak kata Nabi Muhammad ni penghianat bangsa, sebaliknya sebagai orang yang memperbodohkan pemimpin kami, itu saja tak ada pun sebut pengkhianat bangsa,ujarnya lagi.

Sambungnya lagi, masaalah bangsa itu hanya akan timbul setelah masyarakat itu sendiri yang membangga-banggakan bangsanya, sedangkan seruan bangsa di Padang Mahsyar nanti tidak wujud. Tambahnya, sekiranya bangsa cukup berharga di sisi Allah, tentu sekali bangsa Arab lebih berharga dari Melayu.

Menurutnya, kerana Anwar bersama Pakatan Rakyat dan semakin diterima rakyat, menyebabkan mereka takut dan cara yang difikirkan sesuai bagi mereka ialah menyerang ketua pembangkang itu secara peribadi. Kita ni nak naikkan (fahaman) politik, dan bukannya nak menaikkan atau memburukkan individu tertentu, tak betul, itu memalukan kita,"ujarnya.
(Sumber : Harakahdaily)


Ahad, 2 Ogos 2009

DEMO BANTAH ISA


Himpunan berjaya, GMI akan hantar Memo 10 Deklarasi ISA kepada Agong secepat mungkin

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2009 - Sidang media khas yang diketuai Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi antara lain memutuskan akan menghantar Memorandum 10Dekralasi ISA kepada Yang Dipetuan Agong dalam masa terdekat.

Sidang media turut dihadiri Lim Kit Siang; Dato Mustapha Ali, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain. Demikian lapor wartawan Harakah, NYZA AYOB dari Pejabat Agung PAS.

Oleh kerana sekatan dan kekangan polis yanga agak ketat, menyebabkan tiada siapa dari pimpinan GMI dan Pakatan Rakyat yang bolos ke Istana Negara. Sebaliknya semua kumpulan penyokong berpecah dan akhirnya menuju ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Antara tuntutan 10 Deklarasi ISA itu ialah mahu kerajaan melaksanakan siasatan awam dan menyiasat semua kes penyiksaan, penganiayaan, kezaliman dan tidak berperikemanusiaan ISA selama ini.
Anwar menyifatkan Himpunan MANSUH ISA berjaya mencapai sasaran apabila lebih 100,000 penyokong Anti-ISA berkumpul di merata tempat sekitar Kuala Lumpur setelah di halang secara tegar oleh pihak polis.

Dianggar lebih 200 orang ditahan sebelum dan semasa perarakan. Antara ahli parlimen Pakatan Rakyat yang ditahan termasuklah Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Sivarasa Rasiah. Tengahari tadi pula, Norlaila Osman, Narshitah Mohd Nor dan Aiman Athirah Al-Jundi juga turut ditahan.

Kesemua mereka yang ditahan dipercayai telah di bawa ke IPD Cheras. Para peguam kini sedang berusaha untuk menyelesai dan membebaskan ke semua tahanan tersebut.

(Sumber : Harakahdaily)