Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Sabtu, 29 Ogos 2009

Pecat Soi Lek tidak selesai masalah

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2009 - Pemecatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden MCA setelah didapati bersalah terbabit dalam skandal seks tidak akan menyelesaikan krisis parti itu.

Krisis parti itu sebaliknya hanya boleh selesai jika Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat yang kini dikaitkan dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) turut meletakkan jawatan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kedua-dua pemimpin itu kini menjadi beban bukan sahaja kepada MCA, malah Barisan Nasional (BN).

"Cara paling cepat boleh menyelesaikan krisis MCA ialah Tee Keat berundur dari jawatannya kerana beliau dan Soi Lek sudah menjadi liabiliti sebagai pemimpin selepas masing-masing dikaitkan dengan skandal.

"Seperti Soi Lek, skandal Tee Keat dalam PKFZ juga mencalar imej MCA dan ia boleh menyebabkan rakyat bukan Melayu menolak parti itu dan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamed Mustafa mengulas tindakan Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin Parti untuk memecat keahlian Soi Lek berkuat kuasa serta-merta. Tee Keat memberitahu, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital (VCD) skandal seks Soi Lek yang tersebar telah merosakkan imej parti.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, Tee Keat dan Soi Lek patut mencontohi bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dan bekas Timbalannya, Tan Sri Lim Ah Lek yang secara sukarela mengundur diri dari arena politik bagi mengekalkan perpaduan dalam MCA selepas tercetus krisis antara mereka pada 2002.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusof berpendapat, BN patut tampil menyelesaikan krisis MCA kerana apa yang berlaku sekarang boleh menjejaskan imej parti itu dan BN keseluruhannya.

Bagi mengukuhkan kembali MCA, katanya, BN perlu menggunakan pendekatan baru iaitu cuba memenangi hati rakyat bukan Melayu dengan bertolak-ansur dalam beberapa perkara dan mengelak membangkitkan apa sahaja isu perkauman yang boleh mengguris hati mereka.

"Jika UMNO boleh bertolak-ansur dengan MCA dan MIC untuk mencapai kemerdekaan pada 1959, kenapa perkara sama tidak boleh dilakukan sekarang demi kebaikan dan masa depan BN," katanya.

Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula yakin kemelut politik dalam MCA sekarang tercetus akibat agenda peribadi beberapa pemimpin dalam parti itu.

Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai agenda akan berasa cemburu dan saling cabar-mencabar untuk mencapai cita-cita mereka sehingga mencetuskan pergolakan dalam parti.

"Masalah ini hanya boleh selesai jika mereka yang bertelagah sedar bahawa tugas menjadi pemimpin ialah mengutamakan kepentingan rakyat bukannya agenda peribadi," katanya
(Sumber : Utusn Malaysia)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan