Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Rabu, 29 September 2010

Munajat: Ulama muda Umno dangkal ilmu

Pengerusi Misi Munajat Royalti Rakyat Kelantan, Md Zulaimi Kazin menyelar tindakan ulama muda Umno yang mempertikaikan langkah yang diambil oleh 40 ulama bermunajat di Mekah dalam isu tuntutan royalti.

Beliau berkata tindakan yang diambil oleh 40 ulama itu tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan tersebut.

Ini, katanya tidak seperti mana larangan nyata dari nas atas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno tetapi ulama muda mendiamkan diri.

“Golongan ulama Umno ini amat dangkal ilmunya kerana tidak memahami hasrat sebenar misi ini yang dikhususkan kepada tindakan zalim pihak kerajaan pusat yang enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. ada menyuruh bermusafir dan menyatakan kelebihan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, justeru pihaknya akan menghantar 40 orang ulama Kelantan untuk bermunajat di sana.

“Langkah ini diambil agar mereka dapat bertawasul dengan amalan soleh mereka sendiri untuk dimustajabkan doa oleh Allah supaya hak rakyat kelantan dikembalikan,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, perbelanjaan yang digunakan adalah secara telus dengan menggunakan sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri.

“Saya berharap ulama muda Umno kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu membaiki dan menegur Umno, bukan seperti kandungan artikel tulisan mereka, yang memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya lagi.

Khamis, 23 September 2010

MELAYU HILANG KUASA

Melayu Hilang Kuasa

KUALA LUMPUR 23 Sept. 2010 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.

Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya