Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Rabu, 29 Julai 2009

ROYALITI KELANTAN: PETRONAS TIADA PILIHAN..

Kota Bharu, 28 Julai 2009 : Selepas bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata Kelantan berhak ke atas royalti minyak.

Kedua-dua mereka mengesahkan Petronas mesti membayar royalti minyak lima peratus itu kepada Kelantan kerana sememangnya itu perjanjian antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kelantan. Razaleigh berkata, jika dia masih menjadi Pengerusi Petronas, dia akan membayar royalti itu tanpa berdolak daleh lagi.

Zaid pula berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan pusat menolak tuntutan Kelantan itu kerana sememangnya itu yang tertera dalam perjanjian. Ia ditandatangani Razaleigh selaku Pengerusi Petronas dengan Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan ketika itu, kata Zaid.

Hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan hak rakyat Kelantan itu.
(Sumber : Harakahdaily)

Selasa, 28 Julai 2009

PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.
YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.
Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.
Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.
Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut.

IKLAN@UTUSAN

MASANYA TELAH TIBA




Isnin, 27 Julai 2009

INI PERMAINAN UMNO - NIK AZIZ


Kota Bharu 27 Julai 2009 : "Ini permainan Umno," kata Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. "Apa yang saya minta adalah kerajaan negeri mengadakan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan."

Nik Aziz mengulas kenyataan para pemimpin Umno kononnya beliau berpatah balik dan merubah balik kenyataannya sebelum ini yang menentang gagasan kerjasama dengan Umno.

"Apa yang saya cadangkan adalah hubungan antara dua kerajaan atas dasar semangat persekutuan," katanya mengulas cadangannya semasa Fiesta Kelantan 2009 di Kuala Lumpur.

Apa yang dia minta, kata Nik Aziz adalah kerajan persekutuan menunaikan tanggungjawabnya dengan baik. Antaranya tuntutan royalti minyak dari Petronas, bayaran geran pembangunan yang sering diperlambatkan dan projek-projek pembangunan di Kelantan.

Ekoran kenyataan itu, para pemimpin Umno menyambut baik kenyataan Nik Aziz itu seolah-olah beliau sudah mau berbaik-baik dengan kerajaan pimpinan Umno.
Mereka juga membuat kenyataan agar Nik Aziz tidak menarik balik kenyataannya mau berbaik-baik ini.

"Ini bukan urusan parti. Saya tidak berminat untuk merapatkan hubungan kedua-dua parti. Ini hal berasingan," kata beliau.
(Sumber Siasah)

Sabtu, 25 Julai 2009

S.S SUBRAMANIAM SERTAI PKR


KUALA LUMPUR 25 Julai 2009 — Bekas naib presiden MIC Datuk S.S Subramaniam hari ini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) . Keputusan itu dibuat tepat seminggu selepas bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng memutuskan untuk melompat ke parti yang sama.

Semasa mengesahkan perkara itu hari ini, Subramaniam berkata beliau menyertai PKR demi perpaduan kerana parti itu menyatukan semua bangsa di negara ini.
“Saya rasa ini parti untuk masa depan, Saya menyertai parti ini atas kerelaan sendiri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyertai PKR kerana ditawarkan kedudukan tertentu dalam parti. “Saya tidak dijanjikan sebarang jawatan (dalam PKR). Saya menyertainya sebagai anggota biasa,” katanya.

Semasa dalam MIC, Subramaniam beberapa kali menjadi tumpuan kerana beliau banyak kali menentang presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu, menyebabkannya digugurkan daripada jawatan naib presiden pada 1994, untuk memberi laluan kepada pengantinya yang mempunyai nama serupa dengannya iaitu Dr S. Subramaniam. Beliau merupakan bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan anggota Parlimen Segamat.

(Sumber BERNAMA)

Khamis, 23 Julai 2009

ISU LILIN?


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD/pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Julai 2009 – Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu. Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.

“Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?

“Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu disiar oleh New Straits Times pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar hari ini mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula ketika mengulas isu itu telah meminta ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar.

Dalam pada itu, Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan. “Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini.