Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Sabtu, 28 November 2009

Bukan Islam amat percaya Nik Aziz

Kuala Lumpur 28 Nov 2009 : Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, tiada siapa dapat menyangkal Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat seorang pemimpin yang memerintah dengan bersih, beriman dan budiman. Katanya, pandangan tersebut turut dikongsi oleh orang bukan Islam bukan saja di Kelantan tetapi di seluruh negara. "Bagi bukan Islam pun menganggap beliau seorang yang bersih dan mempunyai keutuhan integriti dan kerana itu beliau layak menjadi pemimpin.

Hakikatnya Kelayakannya itu tidak ada yang dipertikaikannya.
"Orang bukan Islam tidak keberatan untuk menerima Tok Guru (Nik Aziz) kerana beliau sudah membuktikan dirinya seorang yang berintegri berakhlak tinggi dan bermoral," kata Tan Seng Giaw kepada Harakah. Beliau berkata, mereka percayakan Tok Guru Nik Aziz kepada nilai-nilai yang termaktub dalam al-Quran iaitu seorang yang adil, jujur tanpa mengira kaum, warna kulit dan kawasan. Malah katanya mereka percaya sepanjang 20 tahun Mursyidul Am PAS itu memerintah Kelantan beliau berjaya menolong semua kaum.

Ujar Tan Seng Giaw lagi, berdasarkan asas tersebut Tok Guru Nik Aziz diterima sekali pun tanpa modal dan hasil dari Kerajaan Pusat.
Katanya, dalam keadaan yang sedemikian Menteri Besar itu boleh kekal memerintah lebih dua dekad dengan berkesan walaupun tanpa peruntukkan dari Kerajaan Pusat.

Tan Seng Giaw yang juga anak jati Kelantan berkata, Tok Guru Nik Aziz tidak menerima rasuah dan tidak mementingkan diri sendiri tetapi mengutamakan rakyat dan negeri Kelantan. "Itulah yang istimewanya, beliau berpoliti untuk berkhidmat bukan untuk personal dan sebagai seorang ahli politik beliau memberi sumbangan dan berkhidmat untuk rakyat bukan menjadi ahli politik untuk mengaut keuntungan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kepong.
(Sumber : Harakahdaily)

Rabu, 25 November 2009

Pemimpin parti politik wang tiada upaya selesai krisis MCA - Nik Aziz

KOTA BHARU, 26 Nov 2009 : Terlebih sudu dari kuah, mungkin ia dapat menggambarkan peringatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin parah sekarang.

Sedangkan Umno sendiri banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan, malah lebih teruk berbanding MCA. Ini dibuktikan dengan rekod pertembungan sesama pemimpin Umno sehingga membawa kepada pengharaman Umno pada 1987. Ketika itu berlaku perebutan jawatan presiden Umno antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kemudian berlaku lagi pertembungan di antara Dr Mahathir dengan ramai pemimpin Umno lain termasuk Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertelingkahan dalaman Umno sehingga membawa kepada pengharaman parti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah parti politik di Malaysia.

"Saya hairan tiba-tiba seorang pemimpin dari parti yang begitu tenat dengan masalah politik wang mampu menyelesaikan krisis MCA seperti yang dihasratkan Timbalan Perdana Menteri. "Bagi saya politik orang Cina lebih ke hadapan dan lebih matang. Macam mana Umno hendak ajar orang Cina berpolitik.

"Apa perasaan orang Cina apabila Umno hendak ajar mereka berpolitik sedangkan rumah guru pun berselerakan," katanya di sini. Baru-baru ini Muhyiddin mahu diberi tempoh seminggu bagi menyelesaikan krisis dalaman MCA yang semakin tenat sekarang.

Beliau membuat kenyataan itu selepas diberi amanah bagi menyelesaikan kemelut MCA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sibuk ke luar negara. Ekoran kenyataan Muhyiddin tersebut ramai pemimpin Cina marah kerana memperlihatkan sikap Timbalan Presiden Umno itu seorang yang angkuh dan memperkecil keupayaan pemimpin MCA menyelesaikan masalah mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin politik Melayu Umno hanya masyhur mempertahankan politik wang. "Rekod pemimpin Umno cemerlang dalam sektor mengutip komisen. Sesetengahnya ada kelulusan sehingga peringkat PhD apabila mendapat kontrak memberi ali baba kepada pihak lain pula," tambahnya.

Beliau juga berkata, sekiranya benar orang Cina mendengar nasihat pemimpin Umno, sudah tentu mereka telah memberi undi besar kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum lalu. Sebelum ini Muhyiddin gagal menyelesaikan krisis Umno Terengganu yang kini terbelah kepada dua kumpulan iaitu Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh.
(Sumber : Harakahdaily)

Sabtu, 31 Oktober 2009

Siva: Notis maklum bubar DUN palsu

Speaker Pakatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar hari ini mendakwa beliau menjadi mangsa taktik kotor melalui penyebaran notis makluman sidang DUN palsu yang memaklumkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan membubarkan DUN.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabat DAP di Ipoh, Sivakumar menafikan yang beliau mengeluarkan notis itu. "Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini," kata Sivakumar yang juga ADUN Tronoh yang turut memberikan salinan contoh notis terbabit.

Notis menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak bertarikh 23 Oktober 2009 itu memaklumkan bahawa sidang DUN hari ini akan diadakan di Hotel Heritage bagi membentangkan Bajet 2010 dan usul pembuburan dewan oleh ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa Sultan Azlan Shah telah berkenan menerima menghadap Mohammad Nizar di Istana Kinta di sini pada 3 petang hari ini bagi membubarkan DUN Perak untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan. Sivakumar berkata beliau hanya mengetahui perkara itu ketika menghadiri sidang DUN di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar mendakwa polis menggunakan kekerasan terhadap Adun pakatan pembangkang yang menghadiri sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini dengan merampas peralatan elektronik seperti kamera, kamera video dan komputer riba. Beliau turut mendakwa polis bertindak kasar semasa merampas Jubah Speaker yang dipakainya. - Bernama

Ahad, 18 Oktober 2009

Ribuan rakyat warnai hari terbuka Aidilfitri PAS

KUALA LUMPUR, 18 Okt. 2009 : Lebih 10 ribu orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memenuhi perkarangan Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak dalam majlis hari terbuka Aidilfitri PAS yang diadakan petang tadi.

Dari mula majlis berlangsung pada jam dua petang, orang ramai tidak putus-putus hadir memeriahkan majlis sehinggalah ianya berakhir pada jam 5 petang. Dan dari mula hingga akhir majlis jugalah, para pimpinan parti setia berdiri menyambut orang ramai yang tertib beratur untuk bersalam dan bersua muka dengan pemimpin yang amat mereka hormati.

Kehadiran tetamu lelaki disambut Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya Ustaz Nasharudin Mat ISa, Naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali serta beberapa pimpinan lain yang masing-masing segak berbaju Melayu dan bersampin.

Mereka berbaris di sepanjang laluan masuk ke dalam dewan Datuk Fadzil Noor yang dijadikan tempat makan bagi tetamu lelaki serta para jemputan khas. Turut menyambut kehadiran tetamu Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaludin.

Tetamu wanita pula disambut mesra oleh Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Saleh, Setiausahanya Kartini Ahmad, Ketua Penerangan Salbiah Wahab dan beberapa pimpinan lain yang turut sibuk melayan tetamu di bawah khemah di bahagian hadapan markaz yang disediakan untuk tetamu wanita.

Ahli Jawatankuasa PS Pusat, Dr Lo' Lo GHazali turut hadir memeriahkan majlis walaupun tangan kanannya masih berbalut akibat perbedahan kecil. Pentas hiburan Islamik yang disediakan oleh pihak penganjur pada majlis kali ini menjadi penyeri dan tarikan kepada para pengunjung selain pelbagai juadah yang disediakan.

Dari mula hingga akhir majlis tetamu dihiburkan dengan persembahan nasyid dari juara Akademi Nasyid TV9 Azhan Atan, kumpulan nasyid As Saufi serta kumpulan Dikir Barat yang didatangkan khas dari Kelantan, Belia 4B Pulau Hilir kelantan.

Azhan yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai Johor menyanyikan tiga buah lagu dari album terbarunya, Ku milikMu sebagai halwa telinga tetamu sambil menikmati juadah yang disediakan. Persembahan mereka turut diselang seli dengan ucapan para pimpinan.

Sebanyak 50 ribu cucuk sate disediakan kepada tetamu sebagai menu utama. Selain itu ialah 50 gantang nasi dagang, laksa, nasi himpit, lemang, kuih muih serta buah tembikai sebagai pembasuh mulut. Menurut pengarah program, Ustaz Mohd Nor menu tersebut disediakan untuk anggaran 6 ribu orang.

"Kehadiran orang ramai memang lebih baik pada tahun walaupun kita tahu banyak undangan majlis begini pada hari ini. Alhamdulillah majlis kita tetap mendapat sambutan ramai."katanya yang merupakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Tetamu cilik pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila duit raya turut disediakan untuk 3 ribu kanak-kanak. Pada majlis ini juga, PAS mengambil kesempatan melancarkan tabung bencana alam di Padang, Indonesia bagi membantu meringankan beban mangsa di sana.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir pula ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP Tan Seng Giau Exco Kerajaan Negeri Selangor dari DAP Ronie Liu Elizabeth Wong dari PKR dan T selain Dr Halimah Ali dan Dr Siti Mariah Mahmud dari PAS.

Majlis kali ini juga turut dihadiri tetamu dari Palestin dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk wakil daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh Setiausaha Gerakan Mahsuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas.

Majlis kali ini juga membuktikan tiada jurang perbezaan antara bangsa dan agama apabila tetamu berbangsa Cina dan India turut kelihatan di celah-celah tetamu Melayu.
Sambutan Aidilfitri PAS merupakan acara tahunan PAS yang diadakan bagi meraikan ahli, penyokong serta merapatkan silatulrahim antara pimpinan, pendokong dengan seluruh masyarakat amnya. Pada tahun lepas, sambutan ini diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.
(Sumber : Harakahdaily 181009)

Jumaat, 2 Oktober 2009

Selasa, 29 September 2009

ISA CALUN BAGAN PINANG

Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober 2009 depan. Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini. Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi. PAS pula akan mengumumkan calonnya malam ini.

Sebelum mengumumkan nama calon BN, Muhyiddin bertanya kepada para hadirin siapa yang mereka mahu, dan mereka menjawab: "Isa".

Sambil memetik slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata "sebab rakyat didahulukan, rakyat nak?" disambut dengan laungan kuat "Isa". Najib tiba sejurus selepas Muhyiddin mengumumkan calon BN itu pada jam 5.15 petang.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal
2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua
Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan. Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
(Sumber : Malaysiakini)

Isnin, 21 September 2009

Jauhi gaya kepimpinan Samy

KUALA LUMPUR 21 Sept. 2009 - Kepimpinan baru MIC perlu menjauhkan sama sekali 'gaya kepimpinan Samy Vellu' sebagai syarat utama bagi memastikan masyarakat India kembali menyokong parti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, masyarakat India bukan satu kumpulan besar jika dibandingkan kaum lain tetapi mereka telah berpecah kepada banyak kelompok.

Menurut beliau, perpecahan tersebut langsung tidak menguntungkan mereka malah turut menyulitkan lagi usaha kerajaan untuk membangunkan kaum minoriti itu.

"Oleh sebab itu, bakal barisan kepimpinan baru amat perlu secara teori dan praktikal menjadi pemimpin kepada semua peringkat terutamanya memenuhi aspirasi golongan muda yang pada masa ini begitu kritis terhadap kerajaan.

"Transformasi radikal perlu dilakukan oleh MIC dalam semua aspek untuk mendekati dan sekali gus meraih kembali sokongan kaum India yang sebenarnya secara tradisi memang menyokong parti itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk membincangkan pelan peralihan kuasa pemimpin nombor satu MIC itu yang telah menerajui parti sejak 1981.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Sarjit Singh Darshan Singh Gill memperincikan ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh barisan kepimpinan baru parti itu bagi merealisasikan kewujudan sebuah MIC baru.

Perkara pertama, katanya, bakal pemimpin perlu menjadi seorang pendengar yang baik dan secara terbuka sanggup menerima kritikan, pandangan serta komentar daripada pelbagai pihak terutama di kalangan anggota komponen Barisan Nasional (BN).
Arkib ucapan pemimpin : Arkib ucapan pemimpin : Apa kata Dr. Mahathir tentang Samy VeluArkib ucapan pemimpin : Apa kata Samy velu terhadap Dr. Mahathir