Mendengar dan memerahati, harapan dan kenyataan

Isnin, 27 Disember 2010

Selasa, 21 Disember 2010

Negara Islam: Nik Aziz ucap tahniah pada Karpal

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin veteran DAP, Karpal Singh yang terbuka untuk berbincang isu negara Islam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, merakamkan ucapan tahniah itu melalui satu kenyataan di sini hari ini.

“Mudah-mudahan dengan pendirian terbaru itu, YB Tuan Karpal Singh akan mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. untuk menerima Islam sebagai satu sistem yang adil untuk semua kaum dan sesuai dipakai dalam politik Malaysia,” katanya.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas kelmarin berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Tuan Guru Nik Aziz dan Karpal, dua tokoh politik Pakatan Rakyat yang sebelum ini dilihat bertembung dalam isu negara Islam dan dieksploitasi sepenuhnya media pro Umno.

Karpal sebelum ini pernah menyebut kepada PAS agar 'langkah mayat beliau dahulu jika PAS bertegas mahu meneruskan hasrat membina Malaysia sebuah negara Islam.

Manaka Tuan Guru Nik Aziz pula dalam responnya kepada Karpal sebelum ini, mahu ahli parlimen Bukit Gelugor itu menyatakan di mana salahnya dengan Islam itu.

Dengan penegasan terbaru Karpal itu, media pro Umno kini dilihat hilang punca sekaligus menamatkan isu tersebut dari terus dimanipulasi mereka.

UCAPAN TUAN GURU HJ. ABDUL HADI AWANG

Part 2

UCAPAN DATO SERI ANWAR IBRAHIM

UCAPAN KARPAL SING

Khamis, 9 Disember 2010

Isnin, 15 November 2010

S'wak Report: Kakitangan Taib kasari

Seorang jurugambar laman Sarawak Report didakwa telah dikasari ketika merakam gambar individu yang keluar masuk daripada sebuah apartmen mewah di London.

Individu yang melakukan perbuatan itu didakwa merupakan kakitangan kepada keluarga ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, lapor laman berkenaan.

Laporan laman itu juga mendakwa, salah seorang pemandu Taib telah mencengkam leher jurugambar wanita itu dan memaksanya memadamkan rakaman yang dibuat. Insiden itu berlaku apabila anak ketua menteri itu, Sulaiman Abdul Rahman yang juga MP Kota Samarahan meminta kakitangannya supaya keluar daripada apartmen mewah di Hyde Park itu untuk mengenalpasti wanita berkenaan, lapor laman tersebut.

Seorang pemandu kepada timbalan menteri pelancongan itu kemudiannya keluar dan "menyerang" jurugambar berkenaan sehingga beliau diselamatkan oleh seorang saksi di tempat kejadian, menurut laporan itu lagi.


Sarawak Report seterusnya menyebut, tindakan itu antara lainnya menunjukkan bahawa keluarga Taib tidak menghargai tindakan laman tersebut dalam memberikan publisiti mengenai harta yang dimiliki mereka. Menurut laporan itu lagi, insiden berkenaan kini berada dalam siasatan polis UK.
(Sumber: Malaysiakini)

Rabu, 13 Oktober 2010

2,000 penduduk terjejas


KOTA TINGGI – Gangguan bekalan air sejak lapan hari lalu menyukarkan kira-kira 2,000 penduduk di Felcra Sungai Ara di sini, dalam menjalani kehidupan harian mereka.

Rata-rata penduduk yang ditemui merungut kerana masalah gangguan bekalan asas itu mendatangkan kesukaran kepada mereka, sekali gus menjejaskan aktiviti harian seperti membasuh pakaian dan mencuci pinggan mangkuk.

Seorang penduduk, Mohamad Hudzari, 58, berkata, ketiadaan air selama seminggu itu menyebabkan dia terpaksa menggunakan kolah di belakang rumahnya, namun bekalan itu juga masih tidak mencukupi.

“Mujurlah ramai penduduk di sini ada kolah di belakang rumah. Pada awalnya, bolehlah mereka menggunakan air tersebut, namun ketiadaan air yang berlarutan lebih seminggu ini menyebabkan air kolah menjadi kontang,” katanya kepada Sinar Harian.

Masalah bekalan air ini dipercayai berpunca daripada dua pam air yang sebelum ini digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk di kawasan itu rosak.

Isnin, 11 Oktober 2010

KAMPUNG TRADISI DIWUJUDKAN

PAS mahu satu akta khusus mengenai kampung tradisi khususnya di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar lain diwujudkan bagi mengelakkan kampung-kampung ini hilang ditelan pembangunan dan pemodenan.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, ahli Parlimen PAS akan membawa isu itu untuk dibahaskan di persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula hari ini. "Sudah sampai masanya ada satu akta khusus untuk kampung warisan yang kita boleh kenali sebagai akta kampung warisan atau kampung tradisi dan perlu kepada suatu jaminan kewujudan mereka supaya tidak tertinggal atau hapus oleh cabaran zaman," kata beliau yang ditemui di majlis pengisytiharan kampung-kampung tradisi Melayu sebagai Kampung Warisan, dekat sini, semalam.

Majlis pengisytiharan itu dianjurkan oleh Muafakat Kampung-kampung Tradisional (Muafakat) sempena sambutan dirgahayu 150 tahun Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur.

Kampung Bandar Dalam merupakan salah satu kampung daripada tujuh kampung yang terbabit untuk diambil alih kerajaan melalui Draf KL2020. Salahudin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian juga berkata, kerajaan harus bertanggungjawab mewujudkan akta kampung tradisi kerana ianya merupakan peninggalan golongan terdahulu yang telah bersusah payah meneroka bandar kepada generasi akan datang.

"Kerajaan harus lebih bertanggungjawab untuk mewujudkan akta ini untuk kepentingan generasi masa depan. "Ia perlu kepada satu bentuk akta yang perlu kita suarakan di Parlimen akan datang iaitu akta yang lebih menyeluruh supaya kampung-kampung ini dapat kita pertahankan atas nama penjagaan warisan yang sangat tinggi nilainya kepada pemikiran dan budaya bangsa," katanya.

Beliau juga bimbang kampung-kampung ini akan digunakan golongan kapitalis untuk kepentingan mereka. "Saya cukup bimbang kampung-kampung ini akan menjadi mangsa kepada golongan kapitalis yang memang melihat tentang peluang perniagaan atau tanah-tanah yang begitu mahal harganya hari ini.

"Kita bimbang dengan tawaran yang lumayan satu demi satu kampung ini hilang dari peta Kuala Lumpur. Ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur tapi juga berlaku di bandar-bandar besar seperti di Johor Baharu, Ipoh dan Alor Setar," katanya lagi. Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan itu.

Pengerusi Muafakat, Ishak Surin berkata, pihaknya dan penduduk kampung membuat keputusan untuk mengisytiharkan kampung mereka sebagai kampung warisan kerana segala tindakan terhadap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan tidak mendapat perhatian.


"Sebelum ini, pelbagai langkah dan usaha telah kita lakukan termasuk mengadakan dialog dan menghantar memorandum kepada pihak terbabit namun tidak dihiraukan mereka," kata beliau yang juga ketua kampung Bandar Dalam.

Muafakat juga tegasnya tidak akan berganjak daripada mempertahankan kampung-kampung mereka kerana tidak ada sebarang surat hitam putih daripada DBKL untuk mendraf kampung tersebut sebaliknya hanya menaburkan janji kepada penduduk.


Dalam majlis itu juga, buku 'Sejarah 150 Tahun Kampung Bandar Dalam' turut dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Pelbagai acara menarik berlangsung antaranya deklamasi puisi oleh A. Samad Said, karyawan Pyan Habib, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dari Rusia, Dr. Peter Porgade dan kumpulan anak-anak Kampung Bandar Dalam yang dipimpin oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Model-model kampung warisan hasil rekaan pelajar fakulti seni bina UIA turut dipamerkan dan dijangka akan direalisasikan setelah mendapat persetujuan kerajaan.

(Sumber: Harakahdaily)

  • Gambar di atas sekadah hiasan

Rabu, 6 Oktober 2010

JANGAN LUPA KE GALAS






Pilahanraya kecil Dun Galas Kelantan

Penamaan calun pada 26 Oktober 2010.
Menggundi pada 4 November 2010.

Datanglah beramai-ramai membantu calun kita. Takbir..

Jumaat, 1 Oktober 2010

Kisah Tajudin bergaduh dengan pemandunya

KUALA LUMPUR, 1 Okt 2010 : Kisah Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abdul Rahman, bergaduh dengan seorang pemandunya di hadapan lebih 400 warga Felcra pada 3 Mei lalu kini tersebar luas dan mendapat perhatian ramai.

Ia menarik perhatian kerana kecaman Tajuddin terhadap bekas pemandunya yang juga seorang kakitangan Felcra berlaku di majlis yang berlangsung pada 3 Mei di Ibu pejabat Felcra, Jalan Rejang Setapak Jaya lalu di jawab secara berdepan oleh pemandu berkenaan.

Hasilnya, 15 minit pertama perhimpunan warga Felcra itu menjadi tempat melepaskan geram Tajudin kepada pemandu berkenaan.

Harakahdaily yelah mendapat audio rakaman pertembungan berkenaaan. Berita awal mengenai hal ini telah disiarkan dalam akhbar politik Siasah keluaran hari ini.

(Sumber: Harakahdaily)
Ikutilah video ini:


Rabu, 29 September 2010

Munajat: Ulama muda Umno dangkal ilmu

Pengerusi Misi Munajat Royalti Rakyat Kelantan, Md Zulaimi Kazin menyelar tindakan ulama muda Umno yang mempertikaikan langkah yang diambil oleh 40 ulama bermunajat di Mekah dalam isu tuntutan royalti.

Beliau berkata tindakan yang diambil oleh 40 ulama itu tidak bercanggah dengan syariah, terutama tidak terdapat sebarang larangan nas syarak terhadap tindakan tersebut.

Ini, katanya tidak seperti mana larangan nyata dari nas atas pengharaman judi bola yang dilesenkan oleh Umno tetapi ulama muda mendiamkan diri.

“Golongan ulama Umno ini amat dangkal ilmunya kerana tidak memahami hasrat sebenar misi ini yang dikhususkan kepada tindakan zalim pihak kerajaan pusat yang enggan membayar royalti petroleum kepada Kelantan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, Nabi Muhammad s.a.w. ada menyuruh bermusafir dan menyatakan kelebihan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, justeru pihaknya akan menghantar 40 orang ulama Kelantan untuk bermunajat di sana.

“Langkah ini diambil agar mereka dapat bertawasul dengan amalan soleh mereka sendiri untuk dimustajabkan doa oleh Allah supaya hak rakyat kelantan dikembalikan,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, perbelanjaan yang digunakan adalah secara telus dengan menggunakan sumbangan derma daripada orang ramai dan tidak melibatkan dana kerajaan negeri.

“Saya berharap ulama muda Umno kembali kepada niat asal mereka menyertai Umno seperti yang mereka war-warkan dahulu, iaitu mahu membaiki dan menegur Umno, bukan seperti kandungan artikel tulisan mereka, yang memperlihatkan mereka seperti balaci Umno dalam usaha melawan tindakan yang tidak sealiran dengan mereka,” katanya lagi.

Khamis, 23 September 2010

MELAYU HILANG KUASA

Melayu Hilang Kuasa

KUALA LUMPUR 23 Sept. 2010 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.

“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.

Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.

Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya


Selasa, 15 Jun 2010

Ustaz Hassan kutubkhanah organisasi, perlembagaan PAS

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2010 : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 1,000 orang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.

(Sumber : Harakahdaily)

Rabu, 9 Jun 2010

MP 'bergaduh' di tempat rehat Dewan Rakyat

Satu usul dibentangkan mengikut peraturan Dewan Rakyat 26(1)(P) bagi menyiasat kekecohan yang berlaku di tempat rehat khas ahli parlimen ketika mereka mengadakan perbincangan mengenai kekurangan biasiswa kerajaan yang ditawarkan kepada pelajar bukan bumiputera.

MP Kinabatagan, Datuk Bung Moktar Radin dari Umno berkata beliau memfailkan usul itu selepas pertengkaran hangat antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan, termasuk dirinya ketika ke tempat rehat berkenaan.

Bung mendakwa 'orang luar' juga berada di tempat rehat itu dan terbabit dalam perbincangan berkenaan, justeru katanya “keselamatan ahli parlimen tergugat'.

Semasa perbincangan meja bulat, pertengkaran hangat dilaporkan antara Bung dan MP Tangga Batu (Umno) Idris Harun dengan pemimpin pembangkang.

Menurut Idris ketika menjejakkan kakinya di tempat rehat itu, beliau terdengar suara-suara yang memaki hamum Umno dan BN dan beliau cuba menegur mereka kerana tidakan berkenaan tidak berpatutan.

Mesyuarat diganggu

"Mereka memaki BN celaka, Umno celaka, jadi saya cuba menasihatkan mereka. Saya menyapa Kula (DAP Ipoh Barat) dan Kit Siang (DAP Ipoh Timur) dan memberitahu mereka bahawa saya ingin mendengar hujah mereka dan mengambil bahagian dalam perbincangan, tetapi ada di antara mereka mula memaki dan menghalau serta menolak saya,” katanya kepada wartawan.

Sementara itu, pemimpin DAP Perak, M Kulasegaran memberitahu wartawan bahawa perbincangan mereka yang sedang berlangsung diganggu oleh dua ahli parlimen kerajaan itu.

"Parlimen adalah tempat untuk rakyat datang dan menyuarakan pendapat mereka. Rakyat sepatutnya tidak dihalang ke mari,” katanya sambil menambah kedua-dua MP Umno berkenaan tidak diundang menyertai perbincangan mereka.

MP Padang Serai N Gobalakrishnan mengesahkan perkara itu dan berkata Kulasegaran telah mendapatkan kebenaran daripada parlimen sebelum memulakan perbincangan mereka itu.

"Ini mesyuarat persendirian dan parlimen membenarkannya,” katanya.

Pemimpin Pakatan Rakyat lain yang menyertai perbincangan itu adalah MP Puchong Gobind Singh Deo, Menteri Besar Perak yang disingkirkan yang juga MP Bukit Gantang Datuk Seri Nizar Jamaluddin, ADUN Sungkai Sivanesan, MP Kapar S Manickavasagam, MP Sungai Siput Xavier Jeyakumar, MP Bukit Mertajam Chong Eng, MP Teluk Intan M Manogaran dan MP Rasah Anthony Loke.

Seorang daripada tetamu berkenaan adalah Presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia yang mendakwa kekurangan biasiswa untuk pelajar bukan bumiputera.

Sabtu, 3 April 2010

PM: 1Malaysia perlu kerana ada pelampau

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bukan kumpulan pelampau ekstrem, jika seseorang benar-benar memahami tuntutan mereka.

Justeru, katanya PERKASA boleh terus memperjuangkan hak Melayu selagi tuntutan dan pandangan mereka tidak melampau, - kerajaan akan cuba memenuhinya, sama seperti kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan bukan Melayu.

Najib berkata demikian ketika diwawancara oleh Al-Jazeera menerusi rancangan 101 East, malam semalam oleh wartawan Fauziah Ibrahim sempena genap setahun beliau menerajui Malaysia.

Menurut Najib adalah tidak benar PERKASA tidak akan menyokong Umno kerana sebahagian besar ahlinya sedar bahawa hanya parti itu yang mampu mempertahankan kepentingan Melayu dan pada masa yang sama menyatukan negara.

“Umno adalah parti yang kukuh dan ditubuhkan dengan asas yang mantap. Umno mampu berdepan dengan PERKASA ataupun kumpulan lain," jelasnya.

Najib juga diminta ditanya mengenai konsep 1Malaysia yang diperkenalkannya.

“1 Malaysia adalah semangat kekitaan yang kita adalah satu masyarakat, satu negara. Ia dicapai melalui perubahaan minda. "Dalam perkataan lain, kita bertolak-ansur sesama kita dan bertoleransi berhubung perbezaan bangsa dan agama. Tetapi itu peringkat permulaan.

“Seterusnya, ialah menerima perbezaan itu. Kita menerima perbezaan itu sebagai sesuatu yang baik untuk negara ini.

“Kemudian adalah berkaitan sistem nilai kita dari segi minda dan akhirnya jika kita menerima semua itu, maka kita akan meraikan perbezaan berkenaan. Ini bererti kita selesa dengan hakikat bahawa kita adalah masyarakat berbilang bangsa dan agama,” jelas Perdana Menteri dengan panjang lebar.

Bagaimanapun apabila ditanya wartawan, mengapa selepas lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaannya, - kini rakyat perlu diajar bagaimana untuk hidup dengan harmoni, Najib menjadi tidak selesa.

Come on. Come on. Lihat apa yang berlaku di Eropah. Yugoslavia berpecah, Ada masalah di Ireland Utara. Kumpulan pelampau wujud di Amerika. Di sana ada Klu Klux Klan moden, okay. Pelampau wujud di mana-mana masyarakat termasuk di negara ini. Hakikat wujudnya pelampau dalam masyarakat bermakna kita perlukan 1Malaysia,” katanya.

Najid kemudiannya diasak dengan soalan bagaimana dia sebagai ketua parti yang memperjuangkan hak, kepentingan dan keperluan Melayu tetapi pada masa yang sama cuba mempelopori agenda untuk menyatukan Malaysia.

“ Ia bukan zero-sum game,” jawabnya ringkas tetapi dtempelak Fauziah dengan dakwaan jawapan Perdana Menteri itu sesuatu yang ironi.

Najib mengulangi: “Ia bukan zero-sum game. Ia adalah kenyataan kerana apabila kita perjuangkan kepentingan Melayu, ia bukan bererti bukan-Melayu dipinggirkan. Malaysia mempunyai sumber negara yang mencukupi untuk membantu semua bangsa di negara ini. Dan saya yakin berdasarkan semangat dan falsafah 1Malaysia, semua rakyat mempunyai hak mereka,” jelasnya lagi.

Al Jazera kemudiannya mengajukan kepada Najib sama ada dia adalah Melayu terlebih dahulu dan rakyat Malaysia selepas itu.

Bagaimanapun sekali lagi, Najib yang kurang selesa berputar-belit menjawap soalan berkenaan.

“Secara teknikal, jika bercakap mengenai perlembagaan, saya adalah Melayu tetapi saya selesa menjadi Melayu dalam masyarakat Malaysia. Dan saya mahu semua berusaha menjadi masyarkat 1Malaysia. Tetapi saya bangga menjadi Melayu. Saya juga bangga yang saya seorang Muslim. Bagaimanapun hakikat bahawa saya bangga sebagai Melayu dan Muslim tidak bermakna saya tidak boleh mendampingi yang lain.”

Najib juga menafikan bahawa dia akan meminda perlembagaan untuk menyesuaikannya dengan 1Malaysia kerana 1Malaysia didirikan atas perlembagaan sekarang yang melindungi hak orang Melayu.
(Sumber : Malaysiakini 3 April 2010)

Selasa, 30 Mac 2010

APCO: Perjanjian dibuat sebelum konsep 1Malaysia.

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Isreal, APCO Inc, sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan APCO ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Kedua-dua perjanjian ini menghasilkan konsep 1Malaysia dan One Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan APCO ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. Ia disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk Sharifuddin Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan APCO Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat penjelasan demikian di dewan rakyat hari ini sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di bawah perkara 37(1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat minggu lalu.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

APCO DI KUALA LUMPUR

Menurut Anwar, sebelum APCO beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur, tokoh-tokoh pentingnya sudah bertugas untuk kerajaan Malaysia di bawah syarikat Mindteam Sdn Bhd.

Paul Stadlen yang menjadi pengarah Mindteam kini adalah CEO kepada APCO di Kuala Lumpur manakala Margaret Kraus adalah CEO APCO Worldwide.

“Sekarang CEO APCO adalah individu yang banyak terlibat dalam banyak urusan di Israel,” kata Anwar.

Anwar mendedahkan syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah firma pelobi yang ditugaskan untuk membaiki imej pemimpin yang rasuah dan buruk dari segi hak asasi.

"Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

"Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik," katanya.

Tambahnya , khidmat APCO juga digunakan oleh Israel pada 1992 oleh perdana menterinya Ehud Barak bagi menjayakan 'One Israel'.

Manakala Malaysia pula menggunakan khidmat APCO bermula 4 Ogos 2009 dengan bayaran kira-kira 20 juta ringgit.

BAGAIMANA APCO MASUK

Beliau juga membawa satu laporan portal berita yang mendakwa APCO diperkenal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh penasihat Najib, Omar Mustapha melalui sebuah syarikat perunding Ethos & Consultancy.

"Seorang penasihat APCO ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak awal Perdana Menteri ambil alih jawatan.

"APCO juga didakwa terlibat secara langsung dalam menentukan pentadbiran 100 hari Najib seperti gagasan 1Malaysia," katanya lagi.

Menurut Anwar, sehingga kini Najib belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaannya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Apa yang dibimbangi jelasnya kenyataan APCO sendiri yang menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat.

"Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO," katanya lagi.

Beliau juga mendedahkan tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein di mana ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel (Israel Security Agency).

Itamar Rabinovich adalah Duta Israel ke Amerika Syarikat, dan Shimon Stein adalah bekas duta Israel ke Jerman.

Menurut Anwar kedua-duanya adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan tersebut.

MODUS OPERANDI APCO

Selain mendedahkan modus operandi APCO, Anwar juga memberitahu APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itulah jelasnya, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar seterusnya mendedahkan APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia seperti Asero dan Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

"Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO," tambahnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata.

Kerajaan katanya boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Beliau mengemukakan contoh negara Israel, yang mana lantikan dibuat melalui Asero Worldwide.

Kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

Namun jelasnya apabila diteliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

"Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO?

Perdana Menteri juga jelasnya perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia.

"Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel", jelasnya lagi.

Rekod APCO katanya menunjukkan hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

APCO katanya lagi, banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing.

Tambahnya lagi, akhbar The Times of India menulis APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya .

Rencana tersebut menyenaraikan antaranya Adolf Hitler, Narendra Modi, Sani Abacha, Nursultan Abishuly Nazarbayev dan Mikhail Khodorkovsky yang didakwa ada kaitan dengan mafia.

"Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

"Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soalnya lagi.
(Sumber : Harakahdaily)

Khamis, 4 Mac 2010

10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis

1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …
a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis

2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)
a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka

3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN
a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.


4. JIKA ANDA DITAHAN

a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan

5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan

6. SELEPAS DITAHAN

a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin

b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.

c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda

7. SOAL SIASAT POLIS

a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.

b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:

S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah

c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.

d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.

8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)

a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.

b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.

9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)

a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam

b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.

10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN

a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.

b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.

Sumber : SUARAM.
(17 Rabiulawal 1431H - 2 mac 2010)