Kampung Bandar Dalam merupakan salah satu kampung daripada tujuh kampung yang terbabit untuk diambil alih kerajaan melalui Draf KL2020. Salahudin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian juga berkata, kerajaan harus bertanggungjawab mewujudkan akta kampung tradisi kerana ianya merupakan peninggalan golongan terdahulu yang telah bersusah payah meneroka bandar kepada generasi akan datang.
"Kerajaan harus lebih bertanggungjawab untuk mewujudkan akta ini untuk kepentingan generasi masa depan. "Ia perlu kepada satu bentuk akta yang perlu kita suarakan di Parlimen akan datang iaitu akta yang lebih menyeluruh supaya kampung-kampung ini dapat kita pertahankan atas nama penjagaan warisan yang sangat tinggi nilainya kepada pemikiran dan budaya bangsa," katanya.
"Kita bimbang dengan tawaran yang lumayan satu demi satu kampung ini hilang dari peta Kuala Lumpur. Ini bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur tapi juga berlaku di bandar-bandar besar seperti di Johor Baharu, Ipoh dan Alor Setar," katanya lagi. Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan itu.
Pengerusi Muafakat, Ishak Surin berkata, pihaknya dan penduduk kampung membuat keputusan untuk mengisytiharkan kampung mereka sebagai kampung warisan kerana segala tindakan terhadap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan tidak mendapat perhatian.
"Sebelum ini, pelbagai langkah dan usaha telah kita lakukan termasuk mengadakan dialog dan menghantar memorandum kepada pihak terbabit namun tidak dihiraukan mereka," kata beliau yang juga ketua kampung Bandar Dalam.
Muafakat juga tegasnya tidak akan berganjak daripada mempertahankan kampung-kampung mereka kerana tidak ada sebarang surat hitam putih daripada DBKL untuk mendraf kampung tersebut sebaliknya hanya menaburkan janji kepada penduduk.
Dalam majlis itu juga, buku 'Sejarah 150 Tahun Kampung Bandar Dalam' turut dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said. Pelbagai acara menarik berlangsung antaranya deklamasi puisi oleh A. Samad Said, karyawan Pyan Habib, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dari Rusia, Dr. Peter Porgade dan kumpulan anak-anak Kampung Bandar Dalam yang dipimpin oleh Prof. Dr. Siti Zainon Ismail. Model-model kampung warisan hasil rekaan pelajar fakulti seni bina UIA turut dipamerkan dan dijangka akan direalisasikan setelah mendapat persetujuan kerajaan.
(Sumber: Harakahdaily)
- Gambar di atas sekadah hiasan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan